Assalamualaikum dan salam sejahtera wahai para pembaca yang budiman sekelian. Pastinya hari ini, hari jumaat anda berasa sedikit bergembira kerana hujung minggu sudah hampir tiba, apatah lagi cuti sekolah sekarang ini bolehlah membawa anak-anak ke zoo negara melihat unta. Namun pastinya ada antara anda yang mahu pergi berkaraoke bersempena hujung minggu ini maka tahniah buat anda kerana penulisan ini ditujukan khas buat anda. Apa? Anda tidak menyanyikan lagu-lagu jiwang karat? Sudah-sudahlah, janganlah anda cuba bermuka-muka konon dalam “playlist” dengar metal, rock, hip-hop atau grunge tapi bila sampai pergi karaoke, lagu dipilih semuanya bab tangkap sayu.
Sedangkan Ludacris boleh meng”rapping” untuk Justin Bieber, apatah lagi kita manusia biasa. Walaupun muka ganas, tapi hati kuntum, sekali-sekala pasti anda terasa hendak mengusik kalbu maka saya menyarankan beberapa lagu yang anda boleh pilih di karaoke kelak.
Baik tanpa membuang masa terimalah 5 senarai lagu melayu jiwang karat yang anda boleh cuba nyanyi di masa karaoke nanti.
PILIHAN KELIMA
SCOIN – RINDU RINDUAN JADI KENANGAN
Lagu yang mengecewakan ini adalah sesuai buat mereka yang telah putus cinta atau patah hati. Dengan lirik lagu yang berbunyi “Aku kau panggil sayang dia kau panggil sayang mana satu mahumu?” Pastinya sangat sesuai buat mereka yang sakitnya hati bagai dihiris sembilu. Dengan suara vokal yang mendatar pastinya lagu ini cukup senang dinyanyikan di karaoke. Kalau anda kecewa teramat sangat bolehlah anda menghafal lagu ini dan nyanyikan di tepi laut bersama cermin mata RM10 pasar malam sebagaimana penyanyi dalam video klip ini. Biasalah bila dah rindu dan terlepas, tinggalah kenangan… Lumrah Kehidupan.
PILIHAN KEEMPAT
SCAN – KAU DIPAKSA KU TERPAKSA
Sesungguhnya cinta itu tidak boleh dipaksa, apatah lagi apabila seseorang itu terpaksa dipaksa untuk bercinta pastinya ianya tidak menjadi. Maka atas dasar semangat inilah lagu ini benar-benar menyatakan keresahan hati seseorang jejaka bila dianya dipaksa. Dengan video klip yang menampilkan lelaki berbadan sasa memakai baju ketat anda bolehlah menanggap diri anda sama sepertinya yakni walaupun badan gagah tetapi hati kuntum, tidak boleh dipaksa walaupun terpaksa. Sesungguhnya “Tiada Paksaan Dalam Islam” jadi saya berharap anda relakanlah menyanyikan kau dipaksa aku terpaksa.
PILIHAN KETIGA
SLASH – TAMAN ASTAKONA
Sesungguhnya di luar nampak ganas tapi dalam hati ada taman, taman apakah itu? Pastinya Taman Astakona. Jangan ditanya apakah itu taman astakona kepada saya, mungkin ianya nama sebuah taman tema yang telah Bengkrap tidak lama dahulu atau ada maksud tersirat. Namun apa yang pasti dengan “hits” melebihi 700 000 lagu ini memang cukup popular dan menjadi pilihan utama di karaoke. Barangkali benarlah peribahasa yang menyatakan “Walau muka ganas, dalam hatinya ada taman.. Taman Astakona”
PILIHAN KEDUA
SPIN – MENGUSUNG RINDU
Seterusnya dari kumpulan yang tidak asing lagi iaitu “Spin” dengan lagu hit mereka berjudul Mengusung Rindu. Bermula dengan kata-kata hikmah “dalam hati ini ada namamu, nama seorang insan yang aku rindu..” pastinya membuatkan si dia tangkap lentok, lentok kerana tak tertahan dengan hikmah cinta anda atau terlentok kerana terlalu bosan itu saya tidak pasti. Namun apa-apa pun lagu ini, yang tidak banyak memerlukan perubahan vokal memang mudah dinyanyikan oleh sesiapa sahaja. Oh, jangan lupa untuk kita sedekahkan Al-Fatihah buat Arwah Achik yang meninggal dunia baru-baru ini atas kemalangan jalanraya.
PILIHAN PERTAMA
SPOON – RINDU SERINDU RINDUNYA
Apabila anda mencintai seseorang itu dengan sepenuh hati maka anda pasti merindui si dia itu serindu rindunya. Kalau anda asyik teringatkan dia sampai makan tak kenyang, mandi tak basah dan tidur tak lena maka lagu ini pastinya menusuk di kalbu anda. Dengan ayat seperti pilu sepilu pilunya pastinya lagu ini mampu membuatkan beberapa orang menitiskan air mata. Sesungguhnya dengan komen pada youtube – “i love this song even i m a chinese^^
damn love it~~~” pastinya ia cukup layak mendapat tempat pertama. Tahniah buat Spoon kerana bukan sahaja berjaya membawa lagu yang menyentuh jiwa dan perasaan malah berjaya menyemarakan semangat muhibbah di kalangan rakyat Malaysia.
Kesimpulan
Memanglah anda mempunyai imej untuk dijaga saya tahu, namun kadang-kadang hati kita terlalu membuak-buak untuk meluahkan isinya maka di karaokelah tempat luahan. Maka apa tunggu lagi, tempahlah bilik, tak dapat bilik karaoke jamban pun jadilah, pastikan kawan anda tidak merakam dan tutup semua telefon bimbit dan keluarkanlah Taman Astakona dari hati anda.
Moga-moga anda terhibur dengan pilihan-pilihan lagu dari Scoin, Scan, Slash, Spin dan Spoon.
P/S – Rupa-rupanya kugiran rock kapak jiwang karat suka nama mula dengan ‘S’.




